Tone Group perkenal program pemasaran Tone Wow

October 31, 2018 0 By admin

KUALA LUMPUR: Tone Group memperkenalkan inisiatif terbarunya, Tone Wow, program pemasaran prabayar mudah alih yang memberi pengguna peluang menikmati perkhidmatan mudah alih disamping menjana pendapatan pasif.

Melalui program pemasaran itu, Tone Group menyasarkan tambahan 500,000 ahli baru untuk produk Tone Wow, ditawarkan melalui rangkaian 4G Plus Digi, pada hujung tahun 2019.

Ia turut merancang untuk menawarkan pelbagai lagi produk dan inovasi, serta perkhidmatan dan program pemasaran yang berkaitan untuk memanfaatkan pengguna mudah alih di Malaysia.

Ketua Pegawai Operasi Tone Group, Robert Chew dalam kenyataannya berkata pihaknya telah membuktikan menerusi program pemasaran uniknya, syarikat berjaya menunaikan janji untuk memberi pendapatan pasif bulanan yang berulang, sekaligus membantu meringankan beban kos sara hidup ketika ini.

“Ada di kalangan ahli kami telah pun menjadi usahawan sepenuh masa dengan menjalankan promosi program ini. Secara ikhlasnya, kami sentiasa berhasrat untuk memberi ahli kami produk mudah alih yang kompetitif dan servis berkualiti tanpa kompromi.

“Kami percaya produk baru ini akan dapat membantu lebih ramai rakyat Malaysia untuk mencapai kebebasan kewangan,” katanya.

Tone Group merupakan pengasas program dengan konsep yang sama di bawah jenama Tone Excel International Sdn Bhd (Tone Excel) dan Tone Plus Sdn Bhd (Tone Plus) dan telah bertapak di Malaysia sejak lebih dari 8 tahun.

Pengguna boleh melayari www.tonewow.net untuk mendapatkan maklumat lanjut. – BERNAMA