Media

Celcom-Digi perlu juarai hati rakyat

August 14, 2019

BERITA cadangan penggabungan Axiata dan Telenor dalam operasi mereka di Asia mengejutkan banyak pihak bukan sahaja pemain industri telekomunikasi bahkan jutaan pengguna.

Sekiranya penggabungan tersebut berjaya direalisasikan menjelang hujung tahun ini, Axiata-Telenor dijangka mempunyai 300 juta pelanggan hasil penyatuan operasi di 9 buah negara iaitu Malaysia, Indonesia, Myanmar, Pakistan, Nepal, Kemboja, Sri Lanka, Thailand dan Bangladesh.

Di Malaysia sahaja, penyatuan itu akan turut menyaksikan penggabungan operasi Celcom-Digi. Dua syarikat tersebut bakal menjadi juara baharu telco di Malaysia apabila menguasai lebih 51 peratus pasaran dengan memiliki lebih 20 juta pelanggan.

Walaupun banyak cakap politik-politik lebih memainkan isu sentimen seperti entiti Axiata yang bukan lagi berjiwa Malaysia atau syarikat Malaysia akan dijual kepada syarikat Norway, namun ramai pengguna lebih tertumpu apakah kesan ke atas mereka. Adakah pengguna bakal mendapat khabar-khabar gembira atau sebaliknya selepas penggabungan itu?

Sinar Harian mendalami isi hati pengguna Malaysia untuk mengetahui apakah harapan mereka yang kami pecahkan kepada tiga kumpulan iaitu eksekutif, penduduk di luar bandar dan orang muda.

Eksekutif mahu harga lebih kompetitif

BAGI seorang usahawan, Muhammad Firdaus, 34, penggabungan Celcom-Digi sememangnya diketahui bakal membolehkan syarikat itu menjadi juara telco di peringkat nasional.

Bagaimanapun katanya, sebagai pengguna, khususnya peniaga yang memang banyak bergantung kepada akses internet beliau berharap penyatuan Celcom-Digi akan membolehkan ia turut menjadi juara di hati rakyat Malaysia.

“Persaingan syarikat telekomunikasi akan menjadi lebih kompetitif dan pengguna mahukan berlakunya penurunan harga.

“Namun dalam masa sama perkhidmatan internet jalur lebar yang pantas perlu dikekalkan khususnya pada waktu puncak,” katanya.

Seorang pekerja swasta, Nurfatin Aqilah Razman, 25, pula mengakui pernah mencuba empat jenis rangkaian telekomunikasi sebelum ini termasuk Celcom dan Digi.

Bagaimanapun kata Nurfatin, dia kemudian kembali menggunakan Celcom selepas lebih berpuas hati dari segi jenis pelan yang bukan sahaja murah tetapi servis perkhidmatan yang baik.

“Jadi saya berharap Celcom dan Digi apabila bergabung tidak berkompromi dari segi kualiti perkhidmatan dan variasi pelan untuk kesesuaian pengguna,” katanya.

Lain pula harapan seorang kakitangan swasta, Normaizura Mhd Ali, 37, yang mahu Celcom dan Digi menghargai pelanggan-pelanggan setianya.

“Sudah tiba masanya Celcom dan Digi menghargai pelanggan setianya dengan menawarkan lebih banyak ganjaran atau hadiah istimewa,” katanya.

Orang muda harap internet tanpa had

LAIN peringkat usia lain pula kehendak dan keperluannya. Bagi golongan muda capaian internet tanpa had pada harga lebih kompetitif seharusnya boleh ditawarkan Celcom-Digi secara bersama.

Menurut seorang penuntut, Nor Syafiqah Insyirah Mohamad Ishak, 18, anak muda terutamanya remaja hari ini hampir 24 jam ‘melekat’ dengan telefon bimbit sama ada untuk pembelajaran, menonton YouTube, bermain game, Facebook atau WhatsApp.

“Data tanpa had amat diperlukan lebih-lebih lagi untuk penuntut IPT yang banyak menggunakan internet.

“Ia dapat membantu remaja seperti kami untuk jimatkan wang simpanan daripada membeli nilai pra bayar yang mahal tetapi datanya minimum,” katanya baru-baru ini.

Bagi seorang pelajar, Nurul Anis A Bakar, 24, beliau berharap penggabungan itu akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada generasi muda.

“Jika penggabungan ini mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, ia satu khabar gembira bagi kami anak muda Malaysia,” katanya.

Bagi, seorang pembantu am, Mohd Zulhafiq Mohd Zahidi, jika penggabungan ini menjadi realiti, beliau berharap Celcom-Digi dapat menawarkan pakej pra bayar yang menarik dan bukan hanya tertumpu kepada pasca bayar.

“Ini kerana kebanyakan pakej syarikat telco sedia ada kurang menitikberatkan pengguna pra bayar,” luahnya.

Bagi Siti Norhaslinna Sheikh Hassan, 29, pula, dengan penggabungan syarikat telco itu diharap dapat rakyat menikmati teknologi komunikasi lebih baik terutamanya rangkaian yang dinaiktaraf ke 5G nanti.

Rangkaian liputan lebih luas ke ceruk pedalaman

BAGI penduduk yang tinggal di luar bandar, penggabungan dua telco gergasi, Celcom dan Digi diharapkan memberi manfaat kepada mereka untuk mendapat liputan rangkaian yang lebih stabil dan meluas.

Bagi seorang pengguna, Tuan Nur Aimuni Tuan Lah, 30, gangguan perkhidmatan sering berlaku di kawasan Gua Musang, Kelantan sehingga menyebabkan kesukaran untuk perhubungan di atas talian.

“Saya berharap agar gabungan ini memberi manfaat kepada kami di kawasan luar bandar terutamanya dari segi kualiti liputan,” katanya.

Seorang lagi pengguna, Maryam Izzati Abdullah, 23, turut menyambut baik gandingan dua syarikat telco berkenaan sekali gus dapat memberi kepuasan kepada pelanggan mereka.

“Capaian Celcom di Jeli agak terhad, lebih- lebih lagi apabila melibatkan kawasan jauh di pedalaman,” katanya.

Dalam pada itu, bagi seorang pengguna di Muar, Johor, Munir Mansor, beliau amat menyokong usaha kolaboratif kedua-dua syarikat telco itu kerana memberi kelebihan tersendiri kepada pengguna.

“Diharap gabungan ini akan membawa lebih banyak faedah buat pengguna. Sekiranya terdapat gangguan liputan, ia pasti merugikan syarikat itu kerana kami sebagai pengguna tidak akan bertahan lama,” katanya yang ditemui di Muar. Kredit : Sinar Harian Online

Please follow and like us:

You Might Also Like

No Comments

Leave a Reply

Social Share Buttons and Icons powered by Ultimatelysocial